Dalam kehidupan seharian kita, kita selalu berhajat pada sesuatu. Ada yang berhajat terhadap benda-benda yang paling ringkas seperti 'nak pergi shopping', 'nak siapkan kerja' dan ada juga yang berhajat kepada perkara-perkara yang mampu mengubah arah kehidupan kita seperti 'nak berhenti kerja', 'nak berkahwin' dan lain-lain lagi.
Sebagai insan yang biasa, saya juga berhajat kepada sesuatu yang hebat dan dinamik dalam kehidupan saya. 9 bulan latihan dalam kamar/chambering period adalah merupakan 9 bulan latihan saya sebagai seorang peguam pelatih. Saya percaya kesemua rakan-rakan saya yang bersama-sama bergraduasi daripada Universiti telah menjalani kehidupan dan pengalaman hidup yang berbeza berdasarkan pilihan pekerjaan masing-masing. Walaupun menjadi seorang pelatih dalam kamar/peguam pelatih bukanlah pilihan saya yang utama dalam menerokai kehidupan selepas tamat pengajian, tetapi bagi memenuhi kehendak ayah dan ibu saya, saya teruskan juga menerokai 9 bulan kehidupan berkerja sebagai peguam.
Dan, selepas mengira hari dan masa, akhirnya saya berada di pinggir bulan yang terakhir sebagai pelatih dalam kamar...tidak lama lagi kalau saya masih mahu menongkah di jalan ini, maka layaklah saya bergelar "PEGUAM". Selama 9 bulan ini, saya mendapati masyarakat mempunyai pelbagai pendapat berkenaan dengan seseorang yang bergelar "PEGUAM". Ada yang mengganggap mereka ini 'good for nothing' dan ada yang mengganggap mereka ini 'superhero'. Berdasarkan pengalaman 9 bulan, di mana saya berlari ke sana dan ke sini di ruang legar mahkamah Kota Bharu, cukup mengajarkan saya erti kehidupan yang sebenar. Siapa yang lebih tahu betapa bernilainya kehidupan selepas dijatuhkan hukuman mati? Siapa yang lebih tahu apa ertinya maruah diri selepas perogol dihukum penjara 20 tahun beserta sebatan? Dan siapa yang lebih tahu erti kekeluargaan dari banduan yang sanggup mencuri demi memberi makan anaknya?
Selepas 9 bulan ini, mata saya lebih jelas untuk melihat dan memahami dunia dan percaturannya. Bukan semua banduan jahat, kejam dan tidak berguna. Bukan juga setiap yang bebas daripada hukuman mahkamah merupakan orang yang ikhlas, jujur dan baik. Bahkan bukan semua "PEGUAM" itu jahat mahupun baik.
Perkara yang terpenting sebenarnya ialah kehidupan sudah tersedia di hadapan kita, kitalah yang memilih untuk meneroka jalan yang mana. Hukum sudah jelas, surga neraka adalah pasti, yang mana satu yang akan kita pilih? Jalan yang mana menjadi pilihan?